Thursday, June 7, 2007

Negara Islam di atas dasar yang kukuh
SELEPAS Nabi s.a.w. membina masjid sebagai tempat beribadat dan juga tempat bagi menyatukan masyarakat Islam, kemudian diikuti pembentukan masyarakat Islam dengan mempersaudarakan anggota masyarakatnya khususnya antara kaum Muhajirin dan Anshar, maka perkara ketiga yang sangat penting dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. setelah berhijrah ke Madinah, ialah menegakkan sebuah kerajaan Islam yang berteraskan kepatuhan terhadap kehendak Allah SWT, Tuhan yang mencipta bumi ini dan alam seluruhnya.
Pembinaan masjid dan pengukuhan persaudaraan di kalangan penduduk Madinah yang berbilang suku kaum dan dari berbagai tempat, merupakan tiang asas bagi menjayakan satu projek besar iaitu pembentukan sebuah kerajaan Islam yang pertama diwujudkan dimuka dunia ini. Inilah perkara baru yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.. Kerana seluruh kerajaan di muka bumi pada ketika itu adalah berteraskan kepada hawa nafsu pemimpin yang berkuasa, di mana raja atau ketua kerajaan mempunyai kuasa mutlak bagi melakukan kehendaknya terhadap rakyat.
Sedangkan Nabi s.a.w. ketika mem'projek'kan negara Islam di Madinah, baginda telah mempersiapkan lebih awal asas utama bagi menjamin kerajaan tersebut terus kukuh bagi melindungi dan melaksanakan syariat Islam. Asas tersebut ialah menyediakan bukan saja para petugas dan pegawai kerajaan di pelbagai bidang pentadbiran, tetapi juga menyediakan masyarakat Islam yang telah dipersaudarakan menurut ukhuwah Islam. Ikatan persaudaraan yang sentiasa mengutamakan kebajikan saudaranya dari diri mereka sendiri.
Tidak berapa lama Nabi di Madinah, maka penduduk Madinah dari berbagai suku kaum saling berhimpun dan bernaung di bawah bayangan Nabi s.a.w.. Sedangkan itu penduduk Madinah sama ada dari kaum Auz dan kaum Hazraj berhimpun di bawah ketua kaum masing-masing. Mereka bukan saja sentiasa berpuak-puak, malah dalam keadaan permusuhan dan berperang di antara kaum sejak seratus tahun. Tetapi apabila Nabi sampai di Madinah, mereka telah berjaya melupakan perselisihan yang diwarisi turun-temurun itu, atas nasihat dan pimpinan tunjuk ajar Nabi Muhammad s.a.w..
Nabi berjaya menyatukan puak yang bertelagah dalam satu ikatan ukhuwah Islamiyyah, mereka berbalah kerana dasar perkauman sempit yang diwarisi sejak nenek moyang mereka dahulu. Akhirnya mereka melupakan permusuhan dan perselisihan setelah diasuh supaya mengenali hakikat diri masing-masing, walaupun mereka dari berbagai suku kaum, tetapi pada hakikatnya mereka adalah bersaudara. Selain mereka bersaudara atas nama pegangan aqidah dan syariat yang satu iaitu Islam, tetapi juga mereka sebenarnya dari keturunan yang sama, di mana mereka dari ibu bapa yang satu iaitu Nabi Adam dan Siti Hawa. Sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah Taala yang bermaksud:
"Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa); dan daripada (perkahwinan) keduanya Allah mengembang biakkan (manusia) lelaki perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (memper-gunakan) nama-Nya kamu saling meminta (memerlukan) satu sama lain, dan peliharalah hubungan silatur-rahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah An-Nisa ayat 1).
Inilah asas politik Islam di mana Nabi s.a.w. telah mengajarkan tentang pokok persoalan manusia yang mesti bersatu, kerana mereka diciptakan oleh Allah SWT diri seorang manusia bernama Adam a.s., diciptakan seorang isteri dari tulang rusuknya pula. Hasil dari perkahwinan mereka berdua Tuhan telah mengembangbiakkan manusia lelaki dan perempuan yang ramai jumlahnya.
Oleh kerana manusia keturunan Adam sudah terlalu ramai, hingga jadi dengan banyaknya suku kaum dan bangsa-bangsa di muka dunia, serta berbagai warna kulit dan rupa. Kemungkinan mereka suda lupa asal usul. Sebab itu Allah SWT utuskan para Rasul dari kalangan manusia untuk mengingatkan kembali rahmat Allah SWT yang telah menciptakan mereka bermula dengan diri seorang manusia bernama Adam. Hasil dari peringatan wahyu Allah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w., menyebabkan bahang permusuhan yang tumbuh di dorong rasa ego sesuatu kaum, akhirnya dapat ditumpulkan.
Mereka bukan sahaja berjaya menghapuskan rasa permusuhan di antara kaum, sebaliknya berjaya mengeratkan hubungan silaturahim, berdasarkan mereka adalah dari satu kelurga Adam. Persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam adalah formula yang sebaik-baiknya, sedang perseteruan yang berterusan di kalangan serumpun keluarga adalah sesuatu yang tidak bertamadun dan kuno.
Dalam tempoh terdekat Nabi berada di Madinah, penduduk Madinah telah mendapat rahmat Islam dan bersyukur dapat bernaung dibawah bayang Nabi s.a.w.. Hampir seluruh pelosok kampung di Madinah penduduknya menerima Islam, sesetengah kampung seluruh penduduknya memeluk Islam, kecuali terdapat segelintir individu tertentu dari keturunan Auz yang masih enggan menukar pendiriannya.
Setelah hubungan antara berbagai suku kaum telah dimesrakan dengan Islam, kemudian Nabi s.a.w. telah (mengarahkan) menulis perjanjian antara kaum Muhajirin dan kaum Anshar, serta bertoleransi terhadap puak-puak Yahudi Madinah dengan membenarkan mereka mengamalkan ajaran agama masing-masing. Harta mereka dijamin keselamatannya oleh Nabi s.a.w., lalu diadakan perjanjian dengan puak-puak Yahudi dengan syarat-syarat yang adil menguntungkan kedua belah pihak.
Assalamu'alaikum Wr. Wb.
4 PERKARA SEBELUM TIDUR
Tafsir Haqqi )
Rasulullah berpesan kepada Aisyah ra : "Ya Aisyah jangan engkau tidur sebelum melakukan empat perkara, yaitu :
1. Sebelum khatam Al Qur'an, 2. Sebelum membuat para nabi memberimu syafaat di hari akhir, 3. Sebelum para muslim meridloi kamu, 4. Sebelum kaulaksanakan haji dan umroh....
Bertanya Aisyah : "Ya Rasulullah.... Bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara seketika?"
Rasul tersenyum dan bersabda : "Jika engkau tidur bacalah : Al Ikhlas tiga kali seakan-akan kau mengkhatamkan Al Qur'an.
Membacalah sholawat untukKu dan para nabi sebelum aku, maka kami semua akan memberi syafaat di hari kiamat.
Beristighfarlah untuk para muslimin maka mereka akan meridloi kamu.
Dan,perbanyaklah bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir makaseakan-akan kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umroh" ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Sekian untuk ingatan kita bersama.
Masjid dikunjungi bukan kerana kecantikannya

MASJID Nabi s.a.w. yang dibina dari pohon kurma serta tanah mentah yang dibuat berbentuk blok, kemudiannya menghadapi perubahan dan baik pulih dari masa ke semasa. Saidina Osman bin Affan r.a. turut menyumbangkan tenaga dan fikiran ke arah perubahan-perubahan itu.
Pengukuhan semula struktur binaan masjid disebut sebagai 'At-Tasyyid'adalah suatu keperluan, bahan-bahan yang mudah rosak seperti pohon kurma dan tanah yang dijadikan dinding tidak tahan lama dan mudah rosak. Para khalifah terbabit dengan kerja at-Tasyyid disebabkan pengunjung masjid yang semakin meningkat dari masa ke masa maka pembesaran juga dilakukan terhadap masjid Nabi s.a.w.. Sebab itu 'at-tasyyid' terus berlaku sejak zaman khalifah hingga bila-bilapun. Semua itu dilakukan oleh pihak berkuasa pada zaman masing-masing mengikut keperluan dan keupayaan.
Adapun 'tasyyid' sememangnya suatu usaha yang wajar dan dipandang baik oleh kebanyakan ulama'. Nabi s.a.w. membina masjid dengan cara yang amat sederhana kerana baginda supaya bangunan masjid itu dapat segera dimanfaatkan, kerana ia sangat diperlukan dengan seberapa segera bagi pengukuhan aqidah dan pembangunan masyarakat Islam Madinah yang baru. 'At-tasyyid' selaras dengan keperluan Islam dan tidak menjejaskan tujuan pembinaan masjid, malah mendatangkan banyak manfaat kepada umat Islam.
Selain dari 'tasyyid', dilakukan juga usaha menghias dan mengindahkan masjid ('Zahrafah'), seperti membuat pelbagai ukiran dan awan larat. Adakah zahrafah atau mengias masjid itu suatu usaha yang direstu oleh Islam, sedangkan hiasan masjid dalam apa bentuk sekalipun tidak tergolong sebagai suatu keperluan.
Dalam perkara 'zahrafah' atau menghias masjid ini, telah ijtimak para ulama ' bahawa perbuatan itu dianggap makruh. Malah terdapat juga di kalangan ulama' yang membenci perbuatan menghias masjid, sehingga sampai ke peringkat mengharamkan perbuatan tersebut kerana dianggap membazir. Tidak terdapat di kalangan ulama' yang mengharuskan perbuatan menghias masjid.
Walaupun ulama' tidak sepakat tentang penetapan hukum, malah berlaku khilaf antara yang menghukumkan makruh dan yang menghukumkan haram. Namun para ulama' telah sepakat dari segi menetapkan bahawa tidak boleh menggunakan wang tabung masjid bagi mengadakan hiasan dan ukiran pada masjid. Jika usaha menghias masjid hendak dilaksanakan, mereka mesti mencari sumber lain untuk menampung perbelanjaan itu.
Khilaf ulama' sekiranya ukiran-kiran masjid itu dibiayai dari wang saku pembuat masjid itu sendiri, ada ulama' yang mengharuskan. Tetapi ada ulama' yang melarang perbuatan tersebut, sikap keras ulama' yang menentang usaha membuat ukiran dalam masjid menunjukkan betapa golongan ulama' ini sangat membenci untuk mengadakan perkara-perkara yang tiada mempunyai dalil dari Rasulullah.
Masjid sewajarnya bersih dari sebarang anasir yang boleh mengganggu ketenangan jiwa para pengunjungnya yang hendak menumpukan fikiran hanya kepada Allah SWT sahaja. Sebab itu apabila seseorang mendirikan solat, mereka berikrar untuk menghadapkan perhatiannya hanya kepada Allah SWT yang menciptakan tujuh petala langit dan bumi.Tarik perhatian orang ramai kepada masjid bukan disebabkan oleh kecantikan masjid. Jika kecantikan masjid menjadi bahan tarikan, kemungkinan masjid akan hanya menjadi tarikan kepada pelancong yang hanya mengkagumi binaannya.